Mengurus Tsunami Cina PRU13

AHMAD (bukan nama sebenar) berkali-kali merungut kepada ibunya. Tidak seperti kebiasaannya sejak beberapa minggu itu, suasana di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di ibu negara ini tegang dengan elemen kempen pilihan raya umum.

Ahmad, 12, merungut kerana hampir semua orang yang ditemui asyik bercakap tentang jangan undi BN (Barisan Nasional). Ibu bapa, guru, kakitangan malah sesama murid sekolah bercakap dalam satu nada – Ubah.

Dalam usia sementah itu dia tidak faham apa sebenarnya yang berlaku, tetapi itulah realitinya.

Mereka bersungguh-sungguh mempengaruhi orang lain supaya jangan undi BN. BN digambarkan sebagai sebuah entiti serba-serbi buruk. Kalau BN cakap, mereka kata tipu belaka tetapi kalau pembangkang cakap, perkara yang ternyata tipu pun bulat-bulat dipercayai.

Sama juga di sekolah vernakular ini. Mereka seperti tak peduli lagi tentang bantuan dan sumbangan kerajaan kepada sekolah tersebut malah jasanya tentulah besar sehinggakan nama seorang tokoh UMNO diabadikan di sebuah bangunan sekolah itu.

Semua itu tiba-tiba seperti tidak memberi sebarang makna. Semangat penolakan mereka sungguh luar biasa. Tercium aroma seperti ada sesuatu yang memaksakan kehendak yang begitu menggelegak. Apakah kehendak mereka itu kalau bukan kuasa politik kerana dengan kuasa politik banyak perkara boleh dibuat dan diubah.

Memang dalam politik selalu berlaku aksiom tidak ada yang tak mungkin. Semuanya serba mungkin. Yang hari ini kawan esok boleh menjadi lawan. Yang hari ini sokong esok boleh jadi penentang. Tetapi dalam PRU-13 ini suasananya sungguh luar biasa. Sokongan undi Cina yang diramalkan sekadar berkisar antara 5 hingga 20 peratus merudum teruk di hampir semua kawasan.

Penurunan undi Cina juga berlaku dalam PRU-12, sebab itulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedaya upaya cuba untuk memenangi hati pengundi kaum ini dengan memberi apa sahaja yang mereka minta. Harapannya supaya pengundi Cina kembali kepada BN.

Tetapi itu tidak berlaku malah lebih buruk lagi. Bayangkan kekecewaan BN khususnya Perdana Menteri. Lantas, beliau layak untuk meluahkan kekecewaan itu dengan menyifatkan apa yang berlaku sebagai tsunami Cina. Ini kerana mereka sendiri memberi pengesahan bahawa sejak Najib menjadi Perdana Menteri, banyak perubahan untuk pendidikan Cina dan masyarakat Cina yang belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

Juga tentunya, Najib berhak untuk memberikan keutamaan kepada pengundi yang telah membolehkan BN meraih kemenangan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Bayangkan dalam waktu genting yang memerlukan sokongan kaum Cina pada kadar 25 peratus sahaja bagi mendapatkan kemenangan majoriti dua pertiga, semasa itulah kelompok masyarakat yang beliau fikir telah ditawan hatinya dan banyak permintaan di luar kebiasaan dilayani, berpaling arah.

Secara en bloc pula mereka memberikan undi yang di luar ramalan. Begitu kecil. Mengapa ini berlaku? Beberapa pemikir dan ahli politik Cina memberikan jawapannya.

“Walau bagaimanapun (setelah banyak tuntutan dan permintaan ditunaikan) etnik Cina mempunyai isu-isu lain yang mereka tidak puas hati seperti kesamarataan kaum, justeru mereka menyokong pembangkang yang mereka lihat dapat menjamin perkara tersebut,” kata Dekan Institut Pengajian Cina Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof. Dr. Ho Khai Leong.

Najib sejak memegang tampuk pemerintahan telah melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan semua kaum termasuk masyarakat Cina. Segala usaha Perdana Menteri itu menurut pemerhatian Khai Leong, membawa kemakmuran kepada semua rakyat sekali gus membuktikan tiada kaum yang ketinggalan dalam pembangunan Malaysia ke arah mencapai status negara maju pada 2020.

Tetapi benarkah pakatan pembangkang boleh memberikan kesamarataan? Tiada lagi keistimewaan kepada bumiputera, mahupun rakyat di Sabah dan Sarawak. Semuanya – kemasukan ke sekolah berasrama penuh, universiti awam, biasiswa dan projek – adalah berdasarkan meritokrasi tanpa ada kuota tertentu. Itulah harapan yang pembangkang berikan kepada pengundi Cina walaupun sebenarnya tidak mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.

Perubahan mendadak

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Tionghua Universiti Malaya, Dr. Thock Ker Pong juga mempunyai alasan yang hampir sama. Beliau menyatakan perubahan mendadak sokongan pengundi Cina adalah semata-mata kerana janji yang ditawarkan oleh pakatan pembangkang.

Pengundi Cina mengakui keuntungan di sebalik transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan BN tetapi katanya, dalam masa sama mereka berbelah bahagi kerana melihat BN juga tidak bersatu apabila wujud perpisahan antara kaum mengikut komponen.

Dalam nada yang berterus-terang, Naib Pengerusi Gerakan Perak, Liew Yew Aw pula mengingatkan pengundi Cina yang menolak BN sebenarnya sedang menjerat diri dan masa depan mereka sendiri.

Beliau yang turut menjadi mangsa tsunami ini dan tewas di DUN Jalong berkata, pengundi Cina memberi mesej salah kepada kerajaan sehingga mereka dilabel sebagai golongan berpaling tadah dan mengkhianati parti yang selama ini banyak membantu mereka.

Setiausaha MCA Perak, Datuk Tan Chin Meng berkata, penolakan pengundi Cina kepada BN menunjukkan mereka masih mudah terpengaruh dan tidak boleh membuat keputusan dengan betul.

Walau bagaimanapun Chin Meng optimis undi Cina boleh dikembalikan kepada BN. Katanya “Kita terima dan hormat keputusan pengundi Cina, kita yakin mereka akan sedar nanti,”

Apakah caranya untuk mengembalikan undi Cina? Itulah yang harus difikirkan oleh Perdana Menteri yang dalam blog 1Malaysia entri Jumaat lalu berjanji akan menjadi Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa mahupun ideologi politik.

“Saya percaya, jika kita bekerjasama sebagai satu bangsa negara, Insya-Allah kejayaan yang lebih besar lagi akan berada di dalam genggaman kita,” kata Najib yang dalam sidang akhbar Selasa lalu mendapat sorakan gemuruh para wartawan apabila menyanggah asakan seorang wartawan yang berulang kali bertanyakan tentang tajuk muka depan Utusan Malaysia, Apa lagi Cina mahu?

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan ada jawapan dan cara lain malah beliau telah pun melaksanakannya. Bagi beliau budi baik seharusnya dibalas dengan kebaikan. Beliau menolak sikap telunjuk lurus kelingking berkait. Madu yang diberi, racun yang dibalas.

Dalam langkah yang cukup drastik Cheng Guan berharap BN mengikut jejak langkah PCM yang menutup semua pusat khidmatnya di Pulau Pinang. PCM juga tidak lagi melantik penyelaras di Parlimen dan DUN di kawasan yang dikuasai pembangkang.

“Tidak perlu lagi kita bekerja untuk mereka yang tidak tahu menghargai usaha kita. Selama ini kita banyak membantu mereka tetapi apa yang dibalas? Justeru, kita biarkan pembangkang pula yang memainkan peranan menolong rakyat di kawasan yang mereka kuasai kerana rakyat di sana lebih mengharap dan mempercayai mereka,” katanya.

Beliau juga menegaskan masyarakat Cina tidak sepatutnya marah apabila ditanya apa lagi yang mereka mahu kerana hal-hal seperti itu juga sering dimainkan oleh akhbar-akhbar Cina.

“Bagi saya itu perkara biasa. Perdana Menteri telah membuat yang terbaik dan tidak sesekali menganaktirikan orang Cina dari semua sudut terutama pendidikan. Mahu sekolah Cina sudah dibuat, mahu universiti Cina juga sudah dibuat. Jadi apa lagi yang orang Cina mahu?

“Sepatutnya mereka tidak marah tetapi menjawab pertanyaan yang dilontarkan oleh Utusan Malaysia itu dengan menilai semula apa yang telah mereka berikan pada PRU-13 ini,” katanya.

Barangkali kita boleh mengagak apa yang bakal kerajaan BN lakukan. Langkah pertama yang boleh dinilai ialah pelantikan barisan Kabinet yang dijangka diumumkan pada Isnin atau Selasa ini. Mungkin bakal berlaku perubahan besar terhadap komposisi mahupun jumlah menteri memandangkan MCA memutuskan untuk menolak sebarang jawatan.

Selain itu, untuk langkah yang lebih meyakinkan, mungkin sudah sampai waktunya BN dijenamakan semula dengan nama baharu contohnya Barisan Rakyat 1Malaysia sebagaimana Perikatan diubah menjadi Barisan Nasional pada 1974 dahulu.

Begitu juga barangkali sudah tiba waktunya lambang dacing juga ditukar sebagaimana sebelumnya ialah kapal layar. Yang jelas perubahan drastik diperlukan sebagai respons terhadap pola pengundian dalam PRU-13 ini. Cuma soalnya, perubahan bagaimana yang mahu dibuat.

Penulis: ZULKEFLI HAMZAH (Utusan Malaysia 12 Mei 2013)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130512/re_11/Mengurus-tsunami-Cina-PRU-13#ixzz2T3O17yOX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s