Jangan Takut Laksana Dasar Afirmatif

POLITIK di Malaysia penuh dengan kompleksiti, yang bercampur baur dengan matlamat dan budaya politik yang luar biasa. Pemimpin dan pemain politik lazimnya mengharapkan pencapaian yang luar biasa sentiasa ditunjukkan dalam politik di negara ini, khususnya semasa pilihan raya.

Di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada dan India yang margin kemenangan parti-parti memerintah amat kecil, kemenangan luar biasa yang menjadi ciri politik Malaysia tidak ada dalam kamus politik negara-negara itu.

Di Malaysia, oleh kerana sifat politiknya unik dan kompleks, serta kerana standard tinggi ekoran pencapaian hebat Perikatan dan BN yang memenangi majoriti dua pertiga dalam 10 kali pilihan raya umum sejak kemerdekaan pada 1957, kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen menjadi isu besar kepada sesetengah pihak.

Maka apabila BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada 2008, dan sekali lagi kecewa mendapat majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu, kegagalan memerintah dengan majoriti dua pertiga itu dianalisis dengan begitu khusyuk oleh pengulas-pengulas yang mengharapkan keluarbiasaan akan selamanya kekal dalam politik Malaysia.

Selepas PRU-13, BN terus memerintah Malaysia, kali ini dengan majoriti mudah 133 kerusi Parlimen. Jumlah kerusi itu merupakan kelebihan sebanyak 44 kerusi berbanding barisan parti pembangkang yang memperoleh 89 kerusi.

Mana-mana kerajaan di United Kingdom dan Australia yang memperoleh kelebihan 44 kerusi akan memerintah negara dengan senang hati.

Pada 2008, di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN menang dengan memperoleh 140 kerusi Parlimen.

Sebenarnya, PRU-13 adalah sebuah pilihan raya yang dramatik, mendebarkan dan dengan keputusan meresahkan: Ia tidak memberikan sepenuh kegembiraan kepada parti-parti yang bertanding, baik BN apatah lagi parti-parti pembangkang.

BN mengharapkan ia mendapat majoriti dua pertiga, tetapi dikecewakan; parti-parti pembangkang DAP, PKR dan Pas mahu menamatkan sejarah penguasaan BN serta merasai kuasa di Putrajaya, tetapi para pengundi telah membuat pilihan memastikan Malaysia terus ditadbir oleh BN.

Para pemimpin pembangkang yang sudah berusia jelas hancur hati. Mereka nampaknya tidak sanggup menanti PRU-14 pada tahun 2018 yang masih jauh lagi. Kini mereka cuba mengelirukan rakyat dengan menganjurkan perhimpunan besar-besaran bersama penyokong bagi menunjukkan kekuatan, sedangkan hakikatnya mereka kalah dalam pilihan raya itu.

Ada banyak komen diutarakan kononnya Malaysia kini menghala ke arah sistem dua parti. Bagaimanapun, hakikat yang tidak dapat ditolak ialah pilihan raya di Malaysia adalah pilihan raya yang merupakan manifestasi sistem politik pelbagai agama, ideologi, kaum, wilayah dan parti.

Secara tradisinya, parti-parti dalam BN bertanding di bawah satu lambang. Parti-parti pembangkang di luar BN tidak bertanding di bawah satu lambang, sebaliknya menggunakan lambang parti masing-masing, iaitu DAP, PKR dan Pas.

Walaupun parti-parti pembangkang itu ada ikatan longgar dan persefahaman di bawah kerjasama Pakatan Rakyat, tetapi ia bertanding menggunakan tiket parti sendiri dan bukan di bawah lambang Pakatan Rakyat. Penerimaan rakyat pasti berbeza jika ia bertanding di bawah lambang yang sama.

Justeru, Malaysia tidak boleh dianggap sebuah negara dengan sistem dua parti, walaupun terdapat rasa syak bahawa ramai calon Cina yang bertanding atas tiket PKR di banyak kawasan sebenarnya adalah penyusup-penyusup parti DAP.

Keberanian

Cabarannya kini adalah kepada Pakatan Rakyat. Adakah mereka mempunyai keberanian untuk bertanding pada PRU-14 di bawah satu lambang yang sama dan membuang logo Roket, Bulan dan Mata Biru?

Pada PRU-13, rakyat Malaysia masih lagi mengundi dalam pilihan raya yang disertai pelbagai parti yang menyaksikan 84 peratus daripada 13,268,002 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Dari segi undi popular, daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya pelbagai parti itu, BN berada di tempat pertama dengan memperoleh undi sebanyak 5,237,699; kedua, PKR (2,254,328), ketiga, DAP (1,736,267), keempat, Pas (1,633,389) manakala parti-parti lain dan Bebas (192,904). Namun begitu, DAP yang berada di tempat ketiga dari segi jumlah undi telah memperoleh 38 kerusi Parlimen, iaitu jauh lebih tinggi daripada PKR yang meraih jumlah undi yang lebih besar.

PRU-13 menawarkan beberapa rumusan yang menarik, antaranya:

l BN yang ditunjangi oleh UMNO dan 13 parti politik kekal menguasai Parlimen dan kerajaan Persekutuan, tetapi dengan penguasaan kerusi Parlimen yang merosot;

l Undi popular menurun sedikit tetapi BN berjaya menawan Perak dan Kedah, iaitu dua daripada lima negeri yang BN tewas pada 2008;

l BN, yang berkembang daripada gabungan parti Perikatan yang berjaya mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada tahun 1957, kini menjadi antara parti memperjuangkan kemerdekaan yang paling lama berkuasa di dunia;

l Sehingga mandat Parlimen PRU-13 tamat pada 2018 nanti, BN akan berkuasa terus-menerus di Malaysia selama 61 tahun, suatu pencapaian yang hebat, bersejarah dan dibanggakan tetapi ia berhadapan dengan persaingan politik yang kompetitif lima tahun lagi.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen pada 3 April lalu bagi membuka laluan kepada PRU-13 pada 5 Mei, beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu bahawa PRU-13 merupakan sebuah pilihan raya yang sukar.

Sejak tahun 2008 lagi, terdapat kerisauan yang tebal dalam BN tentang kemampuan parti-parti kaum Cina yang diwakili oleh MCA dan Gerakan untuk menyentuh hati dan minda pengundi Cina.

Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terpalit dengan kes video seks pada tahun 2008, dan episod itu masih menghantui MCA sehingga sekarang. Pertelagahan dalaman MCA antara kumpulan Chua dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat, memudaratkan lagi kekusutan.

Terdapat anjakan besar dalam politik orang Cina dalam tempoh lebih sedekad lalu. Ia digerakkan antaranya oleh keterbukaan dalam teknologi komunikasi dan media massa, khususnya saluran-saluran televisyen Astro yang menghakis identiti nasional, dan penggunaan media baru internet seperti blog, Facebook dan Twitter yang mencipta kebebasan serta kempen politik yang tidak terkawal.

Pada satu peringkat kempen PRU-13, setelah menganalisis respons terbuka masyarakat Cina, secara diam-diam jentera BN menerima hakikat mereka tidak dapat memenangi hati pengundi Cina.

Pengundi Cina jelas terpengaruh dengan racun fikiran, fitnah mengenai rasuah dan penyelewengan serta momokan “Ini Kalilah” yang disebarkan oleh DAP, PKR dan Pas. Majoriti pengundi Cina bertaruh BN pasti jatuh pada 5 Mei lalu, termasuk pengundi Cina di Kuantan, Pahang yang mendapat pertolongan daripada tangan Perdana Menteri sendiri.

Di kebanyakan peti undi di kawasan penduduk Cina, majoriti undi diberi kepada DAP atau PKR.

Seorang menteri UMNO begitu terkejut apabila mendapati sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka peti undi di kawasan penduduk Cina dalam kawasan Parlimen yang ditandinginya, beliau hanya memperoleh 500 undi daripada pengundi Cina berbanding 5,000 undi yang diberi kepada calon PKR.

Nasib baik apabila datang peti undi dari kawasan penduduk India, pengundi Melayu di kawasan Felda dan kampung-kampung serta Orang Asli, menteri itu akhirnya menang dengan majoriti kecil.

Seorang menteri lain yang bertanding di Terengganu pula mendapati trend yang sama berlaku ke atasnya, tetapi nasibnya diburukkan dengan corak pengundian golongan kelas menengah dan profesional Melayu yang memberi undi kepada calon parti pembangkang.

Pengundi Melayu di bandar-bandar, terutama kelas menengah, jelas sedang dilanda krisis liberalisme politik, yang memperlihatkan mereka terlupa asal usul, tiada semangat perjuangan politik Melayu dan dijangkiti kecelaruan kompas moral. Seperti juga dengan pengundi Cina, mereka tiada perasaan mengenang budi atas apa yang kerajaan BN laksanakan di Malaysia selama ini.

Politik mereka kini dipandu oleh suatu aspirasi lain yang tersembunyi.

Selepas menjadi Perdana Menteri pada April 2009, Najib telah melaksanakan dasar-dasar inklusif untuk merapatkan segenap lapisan kaum di Malaysia. Slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan pendekatannya terhadap kaum-kaum minoriti, khususnya Cina, adalah yang paling mesra datang daripada seorang Perdana Menteri.

Beliau juga cuba menjadi Perdana Menteri yang sempurna pada mata masyarakat berbilang kaum dengan membuat pelbagai perubahan besar seperti menguatkan prinsip meritokrasi dalam pendidikan dan ekonomi, serta menghapuskan beberapa undang-undang yang didakwa oleh kaum Cina sebagai keras, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keputusan PRU-13 tentu mengecewakan Najib yang berusaha gigih mentransformasikan politik dan ekonomi Malaysia. Beliau berkorban dan begitu gigih bekerja menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum dan golongan, tetapi balasan politik daripada pengundi Cina yang dihasut oleh DAP dan diburukkan dengan fitnah dan tohmahan PKR dan Pas, pasti akan menjadikan Najib seorang Perdana Menteri yang lebih berhati-hati selepas ini.

Antara pengajaran lain yang muncul daripada PRU-13 ialah:

l Orang Cina bukan kingmaker dalam politik Malaysia kerana tanpa sokongan mereka pun BN tetap dapat memerintah negara, tetapi hubungan kaum selepas PRU-13 akan memasuki suasana baharu;

l Pola pengundian PRU-13 yang bersifat perkauman – yang dicerminkan oleh Tsunami Cina – seharusnya mengukuhkan iltizam dan keberanian BN melaksanakan dasar-dasar afirmatif untuk kaum Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum India yang ketinggalan jauh dari segi ekonomi;

l Orang Melayu secara umumnya menunjukkan mereka berpasak kepada UMNO dan BN, tetapi ada buih-buih pemberontakan siber dalam kalangan pengundi bandar dan golongan muda;

l Jentera parti BN lebih penting daripada populariti calon. Buktinya ialah kekalahan teruk calon-calon Bebas seperti Datuk Seri Shariff Omar (Tasik Gelugor), Datuk Kamelia Ibrahim (Kuala Kangsar), dan juga calon BN bukan UMNO, Datuk Zulkifli Nordin (Shah Alam);

l Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang istimewa kepada BN, tambahlah perhatian dan kasih sayang;

l Sokongan orang India telah dipulihkan, dan masyarakat India bakal digerakkan sebagai rakan kongsi yang lebih berpengaruh dalam BN dan kerajaan, menjadi antara kumpulan politik terpenting selepas bumiputera.

Najib akan membentuk Kabinet baharu minggu depan, sebuah Kabinet yang perlu memberi keadilan kepada semua, khususnya kepada para pengundi yang daripada undi mereka beliau dan BN berkuasa semula.

Keputusan PRU-13 pasti mengubah cara Najib berfikir dan bekerja serta corak kepimpinan rakan-rakannya dalam kerajaan.

Najib berulang kali menyatakan beliau ingin melihat perdamaian nasional selepas PRU-13, dan ini merupakan suatu pendirian yang mendapat sokongan umum.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh lagi menjadi Najib yang sama seperti sebelum 5 Mei 2013.

Oleh: Baharom Mahusin (Utusan Malaysia – 12 Mei 2013)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130512/re_01/Jangan-takut-laksana-dasar-afirmatif#ixzz2T3Prh4Ke
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s