Zaman PraSejarah

Malaysia terdiri daripada Semenanjung Tanah Melayu, yang merupakan bahagian paling selatan benua Asia, dan negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Utara Pulau Borneo, yang terletak ke arah timur sejauh 530 kilometer di seberang Laut China Selatan.

Tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400, yang merupakan tarikh yang kebiasaannya digunakan sebagai permulaan era sejarah negara.

Namun, tempoh prasejarah yang panjang ini kurang mendapat perhatian kerana kebanyakan penulisan yang sedia ada tertumpu kepada kehebatan Melaka. Kerja-kerja penyelidikan berkenaan sejarah awal di Malaysia juga banyak dipengaruhi oleh dua faktor yang utama, iaitu keadaan fizikal geografinya dan keadaan cuaca.

Para penyelidik lebih cenderung menumpukan kajian mereka samada di Semenanjung atau pun di sekitar Sabah dan Sarawak sahaja, dan ini mengakibatkan hasil kajian yang tidak menyeluruh tentang tempoh prasejarah negara Malaysia. Keadaan cuaca yang begitu panas terik dan hutan hujan yang tebal tidak banyak meninggalkan artifak-artifak dari tempoh awal ini, selain daripada barangan tembikar tanah dan perkakas-perkakas yang diperbuat daripada batu dan besi.

Kebanyakan artifak tersebut, termasuk kawasan perkuburan, telah ditemui di ruang yang terlindung di dalam gua-gua. Satu-satunya peninggalan binaan yang masih boleh dilihat adalah batu-batu asas bangunan yang dibina semasa era kerajaan purba di Kedah dan di Santubong, Sarawak di sekitar abad ke-5 sehingga abad ke-13.

Bukti terawal penempatan manusia di Sarawak adalah merupakan sebuah tengkorak yang berusia 38,000 tahun yang ditemui di Gua Niah, manakala bagi kawasan Semenanjung pula merupakan sebuah rangka yang berusia 11,000 tahun yang ditemui di Gua Gunung Runtuh di Perak.

Artifak yang tertua adalah merupakan sebuah bangku batu zaman Paleolitik dari Kota Tampan, Perak yang berusia 34,000 tahun, manakala artifak tertua dari kawasan Borneo pula adalah alatan batu di Tingkayu, Sabah yang dihasilkan di antara 18,000 hingga 28,000 tahun dahulu.

Cara hidup berburu dan mengumpul makanan telah berubah dengan begitu dramatik sekali di sekitar 5,000 tahun dahulu berikutan dengan penemuan kaedah bagi menghasilkan perkakas batu yang digilap dan barangan tembikar tanah.

Bukti-bukti penghidupan dari zaman Neolitik boleh ditemui di kawasannya sendiri, atau di kawasan-kawasan Mesolitik, termasuklah di Gua Niah di Sarawak, Gua Cha di Kelantan dan Gua Kechil di Pahang.

Kawasan-kawasan dari Zaman Logam di Semenanjung juga tertumpu di bahagian utara, melainkan penemuan sebuah loceng yang diperbuat dari gangsa di Muar, Johor. Penemuan-penemuan di bahagian pantai timur pula tertumpu di kawasan-kawasan yang mempunyai sumber emas, manakala di pantai barat pula adalah berdekatan kawasan sumber bijih timah.

Kehidupan di Zaman Logam juga dapat dilihat melalui pelbagai barangan yang diperbuat daripada besi seperti sebuah alat berbentuk batang yang panjang yang dikenali dalam kalangan orang Melayu sebagai tulang mawas dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia.

Penemuan barangan gangsa dari Utara Vietnam membuktikan wujudnya pelayaran jarak jauh dan seterusnya menghasilkan hubungan perdagangan laut dengan penempatan lain di Asia Tenggara. Manik-manik daripada India yang ditemui di kawasan-kawasan Zaman Logam seperti di Kuala Selinsing (200 SM – 900 M) dan Changkat Menteri (1 – 800 M) di Perak adalah bukti terdapatnya juga hubungan dagangan dengan Asia Selatan.

ProtoSejarah Malaysia.

Kerajaan terawal yang telah dikenal pasti, wujud di Lembah Bujang, Kedah sejak kurun ke-5, manakala sebuah sistem pemerintahan kecil telah diwujudkan di Santubong, Sarawak dan sebuah lagi di Chi tu di Kelantan pada kurun ke-7. Di antara kurun ke-8 hingga ke-14, beberapa penempatan telah terbentuk di Johor, Perak, Pahang dan Terengganu.

Hubungan diplomatik dengan kerajaan China dan perdagangan dengan China, India dan lain-lain kerajaan di Asia Tenggara telah dibina semasa zaman kerajaan awal ini. Peninggalan yang ditemui di Lembah Bujang, Lembah Kinta di Perak, dan di Santubong menunjukkan bahawa pengaruh Hindu dan Buddha banyak mempengaruhi kehidupan penduduk di Malaysia sehingga abad ke-14.

Dalam tempoh yang sama, cara kehidupan megalitik dapat dilihat di Lembah Bernam, Perak dan juga di Sabah dan Sarawak. Walaupun cara hidup Dongson didapati telah wujud dengan penemuan gendang tembaga di kawasan-kawasan yang terpencil, kebanyakan komuniti masih mengamalkan cara hidup Zaman Batu.

Bukti pertama sebuah sistem pemerintahan kecil yang dikenal pasti memeluk dan mengamalkan agama Islam datang daripada sebuah batu bersurat bertarikh tahun 1301, yang ditemui di Terengganu.

Penempatan Awal.

Malaysia merupakan antara kawasan penempatan terawal bagi manusia. Peralatan daripada batu yang dijumpai di Lenggong, Perak dan penemuan yang menakjubkan di Gua Niah, Sarawak telah membuktikan kenyataan tersebut. Di antara penduduk terawal yang masih ada di Malaysia hingga ke hari ini ialah Orang Asli di Semenanjung serta kaum Penan di Sarawak dan kaum Rungus di Sabah.

Kehadiran mereka di negara ini berkemungkinan menjangkau lebih 5,000 tahun. Penduduk terawal ini mungkin juga merupakan golongan perintis kepada gerakan penghijrahan manusia ke arah selatan daripada China dan Tibet melalui tanah besar Asia Tenggara serta Semenanjung Tanah Melayu, seterusnya ke Kepulauan Indonesia.

Penduduk pertama bangsa Melayu atau Melayu Proto dianggarkan telah bertapak di negara ini pada tahun 1000. Mereka merupakan golongan pelopor yang kedua dan ketiga di dalam gerakan penghijrahan ini. Gerakan penghijrahan ini telah diikuti oleh beberapa lagi golongan seperti Melayu Deutero sepanjang beberapa abad seterusnya.

Mereka tiba dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang lebih maju dan baru dalam teknik pertanian dan penggunaan logam. Orang-orang Melayu juga telah bertebaran di segenap pelusuk kepulauan ini, seterusnya menetap dalam kelompok komuniti kecil yang serba lengkap. Ini telah menghasilkan kepelbagaian corak etnik yang kompleks yang dapat dilihat di Malaysia dan Indonesia.

Orang-orang Melayu di Semenanjung mempunyai pertalian hubungan yang rapat dengan orang-orang Melayu di Sumatera, dan untuk berabad lamanya Selat Melaka berperanan sebagai laluan yang menghubungkan mereka dari keluarga yang sama dari tempat yang berasingan dan bukan sebagai sempadan pemisah antara dua negara.

Orang Melayu dan Orang Asli merupakan pribumi negara Malaysia hari ini dan diiktiraf sebagai Bumiputera. Walaupun terdapat perbezaan yang ketara di kalangan pelbagai kumpulan Bumiputera, mereka semua berkongsi ciri-ciri tertentu yang melambangkan adat resam masyarakat Asia Tenggara.

Ciri-ciri tersebut telah tertanam dalam kehidupan sebagai petani dan nelayan, dan ini dapat dilihat dalam masyarakat kampung di mana kepimpinan dipilih secara muafakat. Walaupun cara hidup orang Melayu banyak dipengaruhi oleh ajaran Hindu dan kemudiannya oleh agama Islam, unsur-unsur asas budaya orang Melayu masih kekal hingga ke hari ini.

Sumber : Perpustakaan Negara Malaysia.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s