Mana Pergi Telor Pemimpin UMNO ?

Tak dengar kah setiap hari Dajjal & The Gang menyalak, meracun fikiran rakyat?

Tak nampak kah si Baju Hitam nak jatuhkan kerajaan?

Tak baca kah tulisan Red Bean Army yang terus mempertikai Perlembagaan Persekutuan?

Tak lihat kah perbuatan Cina DAP yang terang-terang tak sukakan Islam?

Jadi, mana suara-suara kamu?

Apakah kau harap Najib dan Zahid sahaja bekerja?

Apa kau harap mereka berdua sahaja perlu berteriak kiri dan kanan?

Apa kah kerana orang suratkabar, orang TV tak masukkan suara dan gambar kau? Nak glamor sahaja? Nak berlakon?

Tak ada cara lain ka kalau nak berjuang? Tak kan nak masuk TV dan nama masuk suratkabar baru nak berjuang?

Apakah kau pemimpin UMNO jumud? Tak ada idea? Hanya nak duduk di kerusi empok?

Apakah kau hanya jaga orang-orang kau? Apabila berlaku pertandingan dalam UMNO baru kau nak sibuk?

Kenapa kau biarkan NGO-NGO  Melayu sahaja bersuara lantang ?

Kenapa biarkan Bloggers-bloggers sahaja yang sibuk berjuang di alam maya? Mana suara kau?

Tahukah kau bahawa ramai rakyat Melayu biasa berjuang tanpa jawatan, tanpa bayaran?

Kenapa suara kalian pemimpin UMNO suam-suam kuku? Melepas batuk ditangga?

Dah lama aku perhatikan situasi ini. Sampai bila lagi?

Adakah kau mau sedar bila sahaja UMNO jatuh?

Aku sayang UMNO…

 

BN menanglah…

TAJUK tersebut sudah membawa mesej jelas bahawa BN telah pun diberi mandat oleh rakyat pada PRU-13.

Menang tetap menang. Apatah lagi kemenangan itu diiktiraf dan diperakukan oleh para pemerhati antarabangsa.

Awang ulangi BN menang. Maka usahlah segan-segan dan menyorokkan kepala apabila terus diserang oleh pakatan pembangkang yang gagal membentuk kerajaan pusat.

Bangkitlah melawan segala tohmahan. Jangan biarkan kelompok yang kalah kelihatan menang.

Awang harap semua pemimpin BN termasuk menteri dan menteri besar serta ketua menteri lebih agresif mempertahankan kemenangan.

Lebih-lebih lagi sayap parti, janganlah pasif.

Tampillah dengan lebih menyakinkan untuk menjawab gelombang penipuan dan manipulasi pembangkang terutama DAP dan PKR, yang sudah melampau.

Sampai bila mahu mengharapkan pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), ahli-ahli akademik dan pihak-pihak yang pro BN untuk menjadi perisai?

Awang harap sangat para pemimpin pelapis dan muda BN memperbaharui iltizam melawan pembangkang apatah lagi ketika parti dan kerajaannya diasak habis-habisan.

Mahu jawatan dan kedudukan tetapi mengambil jalan selamat dalam karier politik. Dalam perjuangan, belajarlah mengambil risiko dan bersedialah untuk bermandi lumpur.

Sejak keputusan PRU-13 pada 5 Mei lepas, Awang naik bosan melihat sindrom senyap dan malu.

Hanya segelintir pemimpin BN ke hadapan sementara yang lain menyerahkan kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin memikul beban.

Sikap sedemikian hanya memberi isyarat yang salah dan mengelirukan kepada majoriti rakyat yang telah memberi mandat kepada BN.

Selain inilah masa untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat semua kaum dan menunaikan segala janji, inilah juga masa untuk tampil lebih lantang, yakin dan sistematik dalam menyanggah pembangkang.

Lebih-lebih lagi kepada UMNO. Inilah masa untuk bersama-sama Najib membawa kebangkitan baharu. Hargailah sokongan orang Melayu dengan menggilap perjuangan UMNO dan memperkukuhkan lagi perpaduan dalam parti. Tetapi sebelum itu tolong bangkit pertahankan kemenangan ini. Inilah masanya. Tolonglah…

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130526/re_04/BISIK—BISIK-AWANG-SELAMAT#ixzz2UNbmWZlQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bagus Sangatkah Budak Ini?

Bagus sangatkah dia? Dia sekolah mana dulu?

Masuk Stanford pakai biasiswa siapa ya?

Siapa ajar awak untuk ugut akhbar berjasa untuk orang Melayu?

Siapa lebih tua, awak ka atau Utusan? Siapa yang lebih banyak berjasa?

Awak ‘consider’ diri awak bangsa apa?

Apa definasi awak tentang perkauman (rasis) Melayu? Awak malu jadi Melayu?

Boleh tau berapa banyak pengorbanan awak untuk kecemerlangan Melayu?

Berapa banyak syarikat awak dah tubuh ya? Ada teringat DEB?

Awak kerja untuk siapa? Visi awak ka atau mengerjakan visi orang lain?

Ada teringat nak tolong bangsa dan agama awak?

Boleh tau samada awak ada pelan untuk meningkatkan ekonomi bangsa awak? atau awak hanya ingat ekonomi diri awak?

Adakah orang bijak (smart) dan orang berhemah tinggi (wise) sama perangainya macam awak ni?

images

Azran Osman-Rani cemuh Utusan Malaysia dakwa akhbar rasis

KUALA LUMPUR 12 Mei – Seorang ahli korporat Melayu baharu yang berkhidmat dengan syarikat Air Asia milik Tan Sri Tony Fernandes mencemuh Utusan Malaysia sebagai akhbar rasis.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia-X, Azran Osman-Rani membuat kenyataan menerusi akaun Twitter serta Facebook miliknya untuk menyatakan pendirian meluatnya terhadap Utusan Malaysia yang dilabelnya tidak mewakili Melayu Malaysia.

Azran secara terbuka menerusi kedua-dua akaun laman sosial miliknya itu menyalahkan Utusan Malaysia sebagai rasis kerana menyiarkan artikel di muka hadapan akhbar itu bertajuk Apa lagi Cina mahu pada 7 Mei lalu.

Menerusi akaun Facebook beliau, Azran menulis: “I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan’s editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya anti-perkauman. Saya meluat dengan pendirian pengarang Utusan).”

Dalam akaun Twitter pula, beliau juga menyatakan pihaknya menarik balik iklan AirAsia di Utusan.

Azran turut menyifatkan Utusan Malaysia sudah tidak relevan dengan jumlah pembaca semakin merosot, walaupun hakikatnya jualan akhbar ini bukan sahaja tidak merosot, malah meningkat sebanyak 1,000 naskhah sehari.

“Utusan sudah lama tidak relevan. Jumlah pembaca merosot kerana minda pengarang sempit. Utusan tidak mewakili Melayu Malaysia,” tulis ahli korporat Melayu baharu itu.

Utusan Malaysia pada 7 Mei lalu menyiarkan laporan muka hadapan bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu?’ yang mempersoalkan undi kaum Cina yang menyokong DAP hampir 100 peratus.

Laporan berkenaan mendapat liputan meluas sehingga seorang wartawan berketurunan Cina mempersoalkannya di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang akhbar beliau.

Bagaimanapun, Najib dengan tenang menjawab: “Awak salahkan Utusan, bagaimana pula akhbar berbahasa Cina? Adakah anda kata sesetengah orang memperkatakan benda yang betul setiap masa?.”

Dalam pada itu, Azran turut memperlekehkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) apabila menyifatkan bahawa fikiran sempit pertubuhan itu yang membuatkan orang Melayu terkebelakang.

“Perkasa? I think Malaysia has proven that they are irrelevant. Its Perkasa’s narrow-mindedness that’s holds Malays back. (Perkasa? Saya fikir Malaysia telah membuktikan bahawa mereka tidak relevan. Fikiran sempit Perkasa yang menyebabkan Melayu ketinggalan.)”

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130513/px_26/Azran-Osman-Rani-cemuh-Utusan-Malaysia-dakwa-akhbar-rasis#ixzz2T8tqyUqJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Apa Lagi Orang Cina Mahu?

KUALA LUMPUR 6 Mei – Masyarakat Cina gagal dalam usaha mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang orang Melayu menjadi terasnya.

Kegagalan itu sudah tentulah mengecewakan mereka yang amat berharap dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ia menjadi medan untuk mereka ‘menguburkan’ UMNO melalui kejayaan pakatan pembangkang.

Biarpun mereka melakukan gerakan yang dilihat bersepadu di seluruh negara dengan memastikan hampir semua undi diberikan kepada parti cauvinis, DAP dan calon-calon pakatan pembangkang lain khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) namun ia belum cukup menumbangkan kepimpinan BN yang UMNO menjadi tonggak utama.

Justeru tidak hairanlah, semalam puak-puak yang dianggap tidak tahu mengenang budi ini melakukan tindakan yang memualkan apabila melancarkan apa yang dipanggil silent walk.

Program itu bertujuan menyatakan protes kononnya PRU-13 dijalankan secara tidak bersih dan mereka mahu rakyat bangkit melakukan protes berjalan secara senyap di kompleks-kompleks membeli-belah.

Malahan dalam laman Facebook dan Twitter tersebar gambar perbuatan biadab sekumpulan remaja Cina yang bergambar bersama Jalur Gemilang yang diterbalikkan.

Persoalannya apa lagi yang puak- puak ini mahu dalam bahasa mudah, ‘apa lagi orang Cina mahu’! Tidak cukupkah DAP memenangi 38 kerusi daripada 51 kerusi yang parti itu tandingi dan seterusnya menjadikan ia parti dominan dalam pakatan pembangkang.

Mungkin kekecewaan mereka biarpun diberi layanan yang begitu istimewa oleh kerajaan BN kerana pakatan pembangkang gagal memerintah.

Mereka membuat percaturan jika pakatan pembangkang menang ia akan membolehkan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri Kedua.

Melalui cara itu, mereka berharap ia boleh dijadikan platform untuk membuat pelbagai tuntutan termasuklah mungkin menganggu gugat hak orang Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Hakikatnya, masyarakat Cina sememangnya sudah lama menyimpan hasrat untuk memiliki kuasa politik yang kuat.

Berikutan kesediaan PKR dan Pas bekerjasama dengan DAP, masyarakat Cina melihat PRU-13 peluang terbaik, justeru mereka keluar habis-habisan mengundi dan memberi isyarat untuk menolak BN.

Segala kebaikan yang ditunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempelopori gagasan 1Malaysia langsung tidak dihargai.

Malahan kesudian Perdana Menteri melayani dan mempertimbangkan serta bertemu dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) cauvinis Cina, Dong Zhong turut dilupakan begitu sahaja.

Begitu juga dengan pelbagai program, projek dan tuntutan masyarakat Cina yang hampir keseluruhannya dilaksana dan dipenuhi oleh kerajaan BN.

Tetapi ternyata, mereka menjadi kelompok yang tidak tahu membalas budi. Mereka hanya bijak bersandiwara di hadapan pemimpin-pemimpin BN dengan tujuan memperoleh apa yang mereka hajati.

Apa yang mereka pohon diluluskan tetapi undi diberi kepada DAP. Kini mereka cuba pula hendak mencetuskan suasana tidak tenteram apabila melakukan pelbagai protes yang boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Kelompok seumpama ini perlu diperingatkan bahawa jangan sampai mereka dilihat terlalu melampau untuk membuat tuntutan politik mereka kerana kesabaran orang Melayu ada hadnya.

Dan apa yang pasti seperti mana kata bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; ”… mereka kata orang Melayu rasis sebaliknya, kali ini mereka sangat rasis.”

Oleh : Zulkiflee Bakar (Utusan Malaysia 7 Mei 2013)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130507/px_03/Apa-lagi-orang-Cina-mahu?#ixzz2T4NHnBqs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ambil Iktibar

SUDAH sampai masanya kaum Cina mengambil iktibar yang serius daripada keputusan PRU-13. Pada PRU-12 (2008), majoriti orang Cina menolak BN walaupun mereka menjadi kaum paling kaya dan menguasai ekonomi.

Pada PRU-13, masyarakat Cina sekali lagi memilih untuk lebih percayakan DAP, yang memainkan sentimen perkauman yang sangat tebal. Tsunami Cina lebih besar kali ini.

Ada yang berpendapat bahawa pengundi Cina membuat silap percaturan setelah diyakinkan oleh DAP bahawa pakatan pembangkang mampu mendapat sokongan rakyat semua kaum bagi membentuk kerajaan.

Persoalannya apakah mahu persalahkan kepada DAP dan PKR sementara masyarakat Cina lepas tangan?

Setahu Awang kaum Cina bukan mudah tertipu berulang kali. Tetapi mengapa benarkan diri ditipu DAP yang merupakan parti paling rasis. Bukan itu sahaja, masyarakat Cina seolah-olah merestui ekstremisme pemimpin DAP. Sebahagian majikan Cina turut mengugut pekerja agar menyokong DAP.

Ramai tokoh kewangan Cina termasuk yang kaya raya hasil daripada kontrak kerajaan juga dikenalpasti memberi dana kepada pembangkang untuk melihat kerajaan BN tumbang.

Tidak berhenti setakat itu. Selepas PRU-13, sebahagian besar orang Cina kelihatan terus memberi sokongan kepada perhimpunan haram DAP dan PKR di seluruh negara untuk membantah keputusan. Sedangkan badan pemantau antarabangsa memperakukan PRU-13 adalah telus dan berwibawa.

Lebih buruk lagi anak-anak muda Cina turut sama terikut sentimen pemimpin DAP memaki hamun dan mencerca. Malah ke tahap menterbalikkan bendera.

Dari awal lagi, masyarakat Cina sudah menetapkan arus untuk mencetuskan tsunami. Sesiapa yang menyokong BN biarpun daripada kalangan tokoh Cina akan ditekan dan dimalukan.

Hakikatnya, DAP menang banyak kerusi Parlimen tetapi masih terus melakukan pelbagai provokasi. Maka pertanyaan apa lagi orang Cina mahu, adalah relevan biarpun kurang disenangi?

Orang Cina di serata dunia menolak pemimpin tidak berakhlak atas pegangan nilai. Anehnya di Malaysia, majoriti Cina taksub untuk mengangkat Anwar Ibrahim yang dahsyat isu moralnya sebagai Perdana Menteri.

Lalu beberapa penganalisis termasuk tokoh mualaf Cina bertanya kepada Awang apakah benar orang Cina tertipu oleh pemimpin DAP dan PKR? Atau sememangnya orang Cina sengaja mahu menangguk di air keruh untuk mendapat kuasa politik apabila melihat Melayu tidak bersatu?

Ini bukan mahu menyalahkan sesiapa tetapi semua pihak perlu menjaga sensitiviti. Bukan setakat parti politik, masyarakat Cina juga harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka pilih.

Lebih-lebih lagi selepas ini, apakah wajar masyarakat Cina menyekutukan diri dan terus menyokong sikap keterlaluan DAP membantah keputusan PRU-13?

Sepatutnya inilah masanya untuk rakyat semua kaum melangkah ke hadapan bersama-sama memakmurkan negara. Suhu politiking sudah lama tinggi dan boleh memuncak memudaratkan negara jika tidak terkawal. Jangan biar bara menjadi api.

Sekali lagi, masyarakat Cina punya pilihan pada pasca PRU-13 ini. Apa yang mereka mahu – merestui DAP yang boleh mencetuskan ketegangan atau menerima keputusan dengan sikap terbuka sambil mendokong keamanan?

Penentuan di tangan mereka. Tepuk dada, tanya selera.

Penasihat Lim Kit Siang bermain api. Beliau terus menghina pemimpin Melayu termasuk Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Terbaharu, beliau menggelar Najib sebagai syaitan.

Sungguh angkuh. Tohmahan dan penghinaan daripada mulutnya tidak henti-henti biarpun selepas rakyat membuat keputusan dalam PRU-13.

Provokasi ala 13 Mei ini perlu dihentikan oleh pihak berkuasa.

Melabel Najib sebagai syaitan adalah tidak ubah menujukannya kepada orang Melayu. Najib adalah pemimpin parti Melayu terbesar yang dinaungi oleh orang Islam.

Mengapa Kit Siang berani bertindak keterlaluan, yang Awang percaya kerana beliau mendapat sokongan jitu masyarakat Cina selain faktor ada pemimpin Melayu yang mengkhianati Melayu.

Inilah akibat apabila Melayu berpecah dan ada pihak diperalatkan oleh DAP, yang sejarah parti itu kita semua tahu.

Penghinaan Kit Siang terhadap pemimpin Melayu mesti dibantah habis-habisan. Jika berdiam, ia akan memberi isyarat yang salah dan Melayu akan terus dihina oleh pemimpin Cina yang ekstrem.

Belum berkuasa di peringkat kerajaan pusat, sudah beraja di mata bertakhta di hati.

Beberapa tokoh Islam sebelum ini telah mengisytiharkan adalah haram menyokong DAP. Inilah masanya untuk memperbaharui tekad menolak yang haram dan jijik seperti DAP.

Oleh: Bisik-bisik Awang Selamat (Utusan Malaysia 12 Mei 2013)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130512/re_03/BISIK—BISIK-AWANG-SELAMAT#ixzz2T3SnrRql
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan Takut Laksana Dasar Afirmatif

POLITIK di Malaysia penuh dengan kompleksiti, yang bercampur baur dengan matlamat dan budaya politik yang luar biasa. Pemimpin dan pemain politik lazimnya mengharapkan pencapaian yang luar biasa sentiasa ditunjukkan dalam politik di negara ini, khususnya semasa pilihan raya.

Di negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada dan India yang margin kemenangan parti-parti memerintah amat kecil, kemenangan luar biasa yang menjadi ciri politik Malaysia tidak ada dalam kamus politik negara-negara itu.

Di Malaysia, oleh kerana sifat politiknya unik dan kompleks, serta kerana standard tinggi ekoran pencapaian hebat Perikatan dan BN yang memenangi majoriti dua pertiga dalam 10 kali pilihan raya umum sejak kemerdekaan pada 1957, kemenangan majoriti dua pertiga di Parlimen menjadi isu besar kepada sesetengah pihak.

Maka apabila BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga pada 2008, dan sekali lagi kecewa mendapat majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu, kegagalan memerintah dengan majoriti dua pertiga itu dianalisis dengan begitu khusyuk oleh pengulas-pengulas yang mengharapkan keluarbiasaan akan selamanya kekal dalam politik Malaysia.

Selepas PRU-13, BN terus memerintah Malaysia, kali ini dengan majoriti mudah 133 kerusi Parlimen. Jumlah kerusi itu merupakan kelebihan sebanyak 44 kerusi berbanding barisan parti pembangkang yang memperoleh 89 kerusi.

Mana-mana kerajaan di United Kingdom dan Australia yang memperoleh kelebihan 44 kerusi akan memerintah negara dengan senang hati.

Pada 2008, di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, BN menang dengan memperoleh 140 kerusi Parlimen.

Sebenarnya, PRU-13 adalah sebuah pilihan raya yang dramatik, mendebarkan dan dengan keputusan meresahkan: Ia tidak memberikan sepenuh kegembiraan kepada parti-parti yang bertanding, baik BN apatah lagi parti-parti pembangkang.

BN mengharapkan ia mendapat majoriti dua pertiga, tetapi dikecewakan; parti-parti pembangkang DAP, PKR dan Pas mahu menamatkan sejarah penguasaan BN serta merasai kuasa di Putrajaya, tetapi para pengundi telah membuat pilihan memastikan Malaysia terus ditadbir oleh BN.

Para pemimpin pembangkang yang sudah berusia jelas hancur hati. Mereka nampaknya tidak sanggup menanti PRU-14 pada tahun 2018 yang masih jauh lagi. Kini mereka cuba mengelirukan rakyat dengan menganjurkan perhimpunan besar-besaran bersama penyokong bagi menunjukkan kekuatan, sedangkan hakikatnya mereka kalah dalam pilihan raya itu.

Ada banyak komen diutarakan kononnya Malaysia kini menghala ke arah sistem dua parti. Bagaimanapun, hakikat yang tidak dapat ditolak ialah pilihan raya di Malaysia adalah pilihan raya yang merupakan manifestasi sistem politik pelbagai agama, ideologi, kaum, wilayah dan parti.

Secara tradisinya, parti-parti dalam BN bertanding di bawah satu lambang. Parti-parti pembangkang di luar BN tidak bertanding di bawah satu lambang, sebaliknya menggunakan lambang parti masing-masing, iaitu DAP, PKR dan Pas.

Walaupun parti-parti pembangkang itu ada ikatan longgar dan persefahaman di bawah kerjasama Pakatan Rakyat, tetapi ia bertanding menggunakan tiket parti sendiri dan bukan di bawah lambang Pakatan Rakyat. Penerimaan rakyat pasti berbeza jika ia bertanding di bawah lambang yang sama.

Justeru, Malaysia tidak boleh dianggap sebuah negara dengan sistem dua parti, walaupun terdapat rasa syak bahawa ramai calon Cina yang bertanding atas tiket PKR di banyak kawasan sebenarnya adalah penyusup-penyusup parti DAP.

Keberanian

Cabarannya kini adalah kepada Pakatan Rakyat. Adakah mereka mempunyai keberanian untuk bertanding pada PRU-14 di bawah satu lambang yang sama dan membuang logo Roket, Bulan dan Mata Biru?

Pada PRU-13, rakyat Malaysia masih lagi mengundi dalam pilihan raya yang disertai pelbagai parti yang menyaksikan 84 peratus daripada 13,268,002 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Dari segi undi popular, daripada keseluruhan pengundi yang keluar mengundi dalam pilihan raya pelbagai parti itu, BN berada di tempat pertama dengan memperoleh undi sebanyak 5,237,699; kedua, PKR (2,254,328), ketiga, DAP (1,736,267), keempat, Pas (1,633,389) manakala parti-parti lain dan Bebas (192,904). Namun begitu, DAP yang berada di tempat ketiga dari segi jumlah undi telah memperoleh 38 kerusi Parlimen, iaitu jauh lebih tinggi daripada PKR yang meraih jumlah undi yang lebih besar.

PRU-13 menawarkan beberapa rumusan yang menarik, antaranya:

l BN yang ditunjangi oleh UMNO dan 13 parti politik kekal menguasai Parlimen dan kerajaan Persekutuan, tetapi dengan penguasaan kerusi Parlimen yang merosot;

l Undi popular menurun sedikit tetapi BN berjaya menawan Perak dan Kedah, iaitu dua daripada lima negeri yang BN tewas pada 2008;

l BN, yang berkembang daripada gabungan parti Perikatan yang berjaya mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada tahun 1957, kini menjadi antara parti memperjuangkan kemerdekaan yang paling lama berkuasa di dunia;

l Sehingga mandat Parlimen PRU-13 tamat pada 2018 nanti, BN akan berkuasa terus-menerus di Malaysia selama 61 tahun, suatu pencapaian yang hebat, bersejarah dan dibanggakan tetapi ia berhadapan dengan persaingan politik yang kompetitif lima tahun lagi.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membubarkan Parlimen pada 3 April lalu bagi membuka laluan kepada PRU-13 pada 5 Mei, beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu bahawa PRU-13 merupakan sebuah pilihan raya yang sukar.

Sejak tahun 2008 lagi, terdapat kerisauan yang tebal dalam BN tentang kemampuan parti-parti kaum Cina yang diwakili oleh MCA dan Gerakan untuk menyentuh hati dan minda pengundi Cina.

Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terpalit dengan kes video seks pada tahun 2008, dan episod itu masih menghantui MCA sehingga sekarang. Pertelagahan dalaman MCA antara kumpulan Chua dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat, memudaratkan lagi kekusutan.

Terdapat anjakan besar dalam politik orang Cina dalam tempoh lebih sedekad lalu. Ia digerakkan antaranya oleh keterbukaan dalam teknologi komunikasi dan media massa, khususnya saluran-saluran televisyen Astro yang menghakis identiti nasional, dan penggunaan media baru internet seperti blog, Facebook dan Twitter yang mencipta kebebasan serta kempen politik yang tidak terkawal.

Pada satu peringkat kempen PRU-13, setelah menganalisis respons terbuka masyarakat Cina, secara diam-diam jentera BN menerima hakikat mereka tidak dapat memenangi hati pengundi Cina.

Pengundi Cina jelas terpengaruh dengan racun fikiran, fitnah mengenai rasuah dan penyelewengan serta momokan “Ini Kalilah” yang disebarkan oleh DAP, PKR dan Pas. Majoriti pengundi Cina bertaruh BN pasti jatuh pada 5 Mei lalu, termasuk pengundi Cina di Kuantan, Pahang yang mendapat pertolongan daripada tangan Perdana Menteri sendiri.

Di kebanyakan peti undi di kawasan penduduk Cina, majoriti undi diberi kepada DAP atau PKR.

Seorang menteri UMNO begitu terkejut apabila mendapati sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka peti undi di kawasan penduduk Cina dalam kawasan Parlimen yang ditandinginya, beliau hanya memperoleh 500 undi daripada pengundi Cina berbanding 5,000 undi yang diberi kepada calon PKR.

Nasib baik apabila datang peti undi dari kawasan penduduk India, pengundi Melayu di kawasan Felda dan kampung-kampung serta Orang Asli, menteri itu akhirnya menang dengan majoriti kecil.

Seorang menteri lain yang bertanding di Terengganu pula mendapati trend yang sama berlaku ke atasnya, tetapi nasibnya diburukkan dengan corak pengundian golongan kelas menengah dan profesional Melayu yang memberi undi kepada calon parti pembangkang.

Pengundi Melayu di bandar-bandar, terutama kelas menengah, jelas sedang dilanda krisis liberalisme politik, yang memperlihatkan mereka terlupa asal usul, tiada semangat perjuangan politik Melayu dan dijangkiti kecelaruan kompas moral. Seperti juga dengan pengundi Cina, mereka tiada perasaan mengenang budi atas apa yang kerajaan BN laksanakan di Malaysia selama ini.

Politik mereka kini dipandu oleh suatu aspirasi lain yang tersembunyi.

Selepas menjadi Perdana Menteri pada April 2009, Najib telah melaksanakan dasar-dasar inklusif untuk merapatkan segenap lapisan kaum di Malaysia. Slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan pendekatannya terhadap kaum-kaum minoriti, khususnya Cina, adalah yang paling mesra datang daripada seorang Perdana Menteri.

Beliau juga cuba menjadi Perdana Menteri yang sempurna pada mata masyarakat berbilang kaum dengan membuat pelbagai perubahan besar seperti menguatkan prinsip meritokrasi dalam pendidikan dan ekonomi, serta menghapuskan beberapa undang-undang yang didakwa oleh kaum Cina sebagai keras, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keputusan PRU-13 tentu mengecewakan Najib yang berusaha gigih mentransformasikan politik dan ekonomi Malaysia. Beliau berkorban dan begitu gigih bekerja menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum dan golongan, tetapi balasan politik daripada pengundi Cina yang dihasut oleh DAP dan diburukkan dengan fitnah dan tohmahan PKR dan Pas, pasti akan menjadikan Najib seorang Perdana Menteri yang lebih berhati-hati selepas ini.

Antara pengajaran lain yang muncul daripada PRU-13 ialah:

l Orang Cina bukan kingmaker dalam politik Malaysia kerana tanpa sokongan mereka pun BN tetap dapat memerintah negara, tetapi hubungan kaum selepas PRU-13 akan memasuki suasana baharu;

l Pola pengundian PRU-13 yang bersifat perkauman – yang dicerminkan oleh Tsunami Cina – seharusnya mengukuhkan iltizam dan keberanian BN melaksanakan dasar-dasar afirmatif untuk kaum Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum India yang ketinggalan jauh dari segi ekonomi;

l Orang Melayu secara umumnya menunjukkan mereka berpasak kepada UMNO dan BN, tetapi ada buih-buih pemberontakan siber dalam kalangan pengundi bandar dan golongan muda;

l Jentera parti BN lebih penting daripada populariti calon. Buktinya ialah kekalahan teruk calon-calon Bebas seperti Datuk Seri Shariff Omar (Tasik Gelugor), Datuk Kamelia Ibrahim (Kuala Kangsar), dan juga calon BN bukan UMNO, Datuk Zulkifli Nordin (Shah Alam);

l Sabah dan Sarawak adalah dua negeri yang istimewa kepada BN, tambahlah perhatian dan kasih sayang;

l Sokongan orang India telah dipulihkan, dan masyarakat India bakal digerakkan sebagai rakan kongsi yang lebih berpengaruh dalam BN dan kerajaan, menjadi antara kumpulan politik terpenting selepas bumiputera.

Najib akan membentuk Kabinet baharu minggu depan, sebuah Kabinet yang perlu memberi keadilan kepada semua, khususnya kepada para pengundi yang daripada undi mereka beliau dan BN berkuasa semula.

Keputusan PRU-13 pasti mengubah cara Najib berfikir dan bekerja serta corak kepimpinan rakan-rakannya dalam kerajaan.

Najib berulang kali menyatakan beliau ingin melihat perdamaian nasional selepas PRU-13, dan ini merupakan suatu pendirian yang mendapat sokongan umum.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh lagi menjadi Najib yang sama seperti sebelum 5 Mei 2013.

Oleh: Baharom Mahusin (Utusan Malaysia – 12 Mei 2013)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130512/re_01/Jangan-takut-laksana-dasar-afirmatif#ixzz2T3Prh4Ke
© Utusan Melayu (M) Bhd